Pemerintah Ketiga Melaka : Sultan Maharaja (Raja Tengah) atau Sultan Muhammad Syah (1424 – 1445)

Pada tahun 1424, selepas kemangkatan Sultan Megat Iskandar Syah, putera baginda Raja Tengah, juga dikenali sebagai Radin Tengah, telah ditabalkan sebagai pemerintah ketiga Melaka. Pada tahun yang sama, Raja Tengah dan permaisurinya mengadakan lawatan pertama mereka ke China bagi tujuan memaklumkan kepada Maharaja China tentang kemangkatan ayahandanya dan juga pertabalan baginda sebagai Sultan. Pada tahun 1433, Raja Tengah bersama permaisuri, putera-puteri dan adindanya bernama Radin Bala berserta rombongan diraja seramai 228 orang berangkat ke China mengikuti angkatan laut Cheng Ho. Mereka telah tinggal di China selama dua tahun. Bermula dari tahun 1434, kerajaan China telah membuat perubahan polisi dengan mengurangkan tumpuan terhadap negara-negara lain termasuk Asia Tenggara.

Pada zaman pemerintahan Raja Tengah, seorang tokoh agama bernama Saiyid Abdul Aziz telah datang ke Melaka untuk mengembangkan ajaran Islam. Sultan Melaka dan pegawai-pegawai kanannya serta orang-orang Melayu Melaka menerima ajarannya. Dia juga mencadangkan agar Raja Tengah menggunakan nama Islam iaitu Sultan Muhammad Syah. Sejurus kemudian, Sultan Muhammad Syah telah melantik beberapa orang pegawai kanan yang bertanggungjawab dalam pentadbiran dalaman. Di antara mereka yang dilantik adalah seorang Bendahara, yang digelar Seri Wak Raja; adinda Sultan Radin Amin dilantik sebagai Perdana Menteri dan diberi gelaran Seri Amar Diraja. Tun Perpatih Besar, anak Tun Perpatih Permuka Berjajar dari Singapura, dilantik sebagai Bendahari dengan gelaran Seri Nara Diraja. Seri Nara Diraja telah mengahwini anak kepada Seri Wak Raja dan mendapat seorang anak perempuan bernama Tun Ratna Sandari.

Mani Purindan, orang kaya dari India telah datang ke Melaka berserta angkatan tujuh buah kapal dan telah disambut dengan baik oleh Sultan Muhammad Syah yang menganggap tarafnya seperti seorang menteri. Mani Purindan kemudiannya menjadi menantu kepada Seri Nara Diraja apabila berkahwin dengan anaknya Tun Ratna Sandari. Mereka mendapat seorang anak lelaki bernama Tun Ali dan seorang anak perempuan bernama Tun Wati. Tun Wati pula telah dikahwinkan dengan Sultan Muhammad Syah dan dikurniakan seorang putera bernama Raja Kassim. Sultan Muhammad Syah kemudiannya berkahwin dengan anak perempuan kepada pemerintah Rokan dan dikurniakan seorang putera bernama Raja Ibrahim. Walaupun Raja Ibrahim lebih muda dari Raja Kassim, beliau telah dilantik menjadi Raja Muda Melaka oleh Sultan Muhammad Syah atas permintaan ibundanya, iaitu puteri Rokan, yang merupakan Sultanah Melaka. Pada zaman pemerintahan Sultan Muhammad Syah juga, Tun Ali, anak Mani Purindan, dilantik sebagai Bendahari Melaka bergelar Seri Nara Diraja, menggantikan datuknya Seri Nara Diraja Tun Perpatih Besar.

Di samping membuat perlantikan beberapa orang pegawai kanan, Sultan Muhammad Syah juga merupakan pemerintah pertama memperkenalkan pelbagai adat resam dan larangan terhadap darjat Diraja di Melaka. Di antara adat resam itu ialah penggunaan payung, persidangan di istana, pemberian hormat, tatacara kedatangan dan pemergian perwakilan, penganugerahan darjah, keberangkatan diraja, upacara menghadap diraja, upacara santapan diraja, keberangkatan diraja ke masjid dan sambutan Hari Raya.

Di antara larangan yang dikeluarkan kepada orang kebanyakan oleh Sultan Muhammad Syah termasuklah penggunaan warna dan bahan kuning, pembinaan rumah atau sampan, pemakaian keris, emas dan perhiasan serta jenis pakaian yang boleh dipakai oleh orang kebanyakan. Barangsiapa yang tidak mematuhi larangan yang dikeluarkan akan dikenakan denda yang dipanggil denda pati. Adat dan larangan yang diperkenalkan oleh Sultan Muhammad Syah masih digunapakai oleh pemerintah Melayu sehingga kini akan tetapi pada tahap yang lebih ringan.

Pada tahun 1444, Sultan Muhammad Syah telah mangkat setelah memerintah Melaka selama dua puluh tahun. Beliau telah meninggalkan dua orang putera iaitu Raja Kassim, anakandanya bersama Tun Wati dan Raja Ibrahim, anakandanya bersama puteri Rokan.


Sumber: Sejarah Malaysia