Pemerintah Keempat Melaka : Sultan Abu Syahid (1445 – 1446)

Setelah kemangkatan Sultan Muhammad Syah pada tahun 1445, Raja Ibrahim, anakandanya bersama Puteri Rokan, telah ditabalkan sebagai pemerintah keempat Melaka dan diberi gelaran Sultan Abu Syahid. Tun Ali telah dilantik sebagai Bendahari Melaka bergelar Seri Nara Diraja, menggantikan datuknya Seri Nara Diraja Tun Perpatih Besar. Walaupun Sultan Abu Syahid merupakan pemerintah Melaka, kuasa pemerintahan sebenarnya terletak di tangan Raja Rokan, sepupu ibundanya yang telah datang menetap di Melaka sewaktu pemerintahan Sultan Muhammad Syah. Dalam jangkamasa tersebut, Melaka seolah-olah diperintah oleh Raja Rokan yang sentiasa berdamping dengan Sultan Abu Syahid. Akibatnya, pegawai-pegawai kanan Melaka mula membenci Raja Rokan. Raja Rokan tidak membenarkan Raja Kassim, anakanda Sultan Muhammad Syah bersama Tun Wati, menetap di istana. Raja Kassim telah dipaksa untuk meninggalkan istana dan meneruskan hidup sebagai seorang nelayan. Tiada sesiapapun, melainkan memandanya Tun Ali, yang mengambil berat terhadap dirinya dan melindunginya dari sebarang ancaman.

Justeru, Raja Kassim kemudiannya telah berpakat dengan memandanya Seri Nara Diraja untuk menentang Raja Rokan. Perancangan mereka mendapat sambutan yang baik di kalangan penduduk Melaka yang sememangnya tidak menyukai Raja Rokan. Seri Nara Diraja dan Raja Kassim juga telah memperdaya Bendahara Melaka untuk menyebelahi mereka. Satu serangan telah dilakukan pada waktu malam di istana, dan terjadilah satu pertarungan diantara pengikut Sultan Abu Syahid dan penduduk Melaka yang diketuai oleh Raja Kassim, Bendahara dan Seri Nara Diraja Tun Ali. Sewaktu serangan tersebut, Raja Kassim dan Seri Nara Diraja Tun Ali cuba untuk memisahkan Sultan Abu Syahid daripada Raja Rokan, tetapi tidak berjaya. Apabila Raja Rokan ditikam oleh salah seorang penyerang, dia dengan pantas bertindak balas menikam Sultan Abu Syahid. Akibatnya, kedua-dua Sultan Abu Syahid dan Raja Rokan telah terbunuh dalam serangan itu, yang berlaku pada tahun 1447. Kemangkatan Sultan Abu Syahid, walaupun tidak dirancang, merupakan perkembangan yang penting dalam sejarah Melaka kerana ia telah memastikan kesinambungan dan kestabilan politik di Melaka.


Sumber: Sejarah Malaysia