Dalam buku Tuhfat Al-Nafis, Salasilah Melayu & Bugis, dan Hikayat Siak dengan jelas menyatakan yang Opu Daeng Perani telah gugur di Kedah dalam pertempuran dengan Raja Kechil Siak. Dalam Tuhfat Al-Nafis mencatatkan:
Syahadan maka berapa antaranya maka kelengkapan Yang Dipertuan Muda [Opu Daeng Merewah] serta Opu-Opu itu mudik hendak melanggar Kubu Raja Kechil sebelah hulunya pada rumahnya dan apabila sampai ke kota hulu itu maka lalulah berperang yang sangat ramainya dengan gegak gempita berbedil-bedilan dengan meriam dan rentak serta tempik soraknya maka dengan takdir Allah Subhanahu Wa Taala sert adengan sudah sampai janjiNya maka Opu Daeng Perani pun kenalah pelurunya meriam tentang dadanya maka iapun mangkat di atas beranda hgurabnya dengan nama laki kerana waktu ia berperang besar itu bersiar-siar di atas beranda memerintahkan segala orang berperang itu .......
Seterusnya sumber ini mengatakan apabila Raja Kechil dikalahkan dan berundur ke Siak, “……Yang Dipertuan Muda serta Raja Tua, Daeng Menambun……dimakamkan mayat Opu Daeng Perani itu betapa adapt istiadat raja-raja mangkat……”
Salasilah Melayu & Bugis pula mencatatkan gugurnya Daeng Perani di Kedah seperti berikut:
Syahadan maka Raja Kechil pun fakir, “Baik aku bedil Daeng Perani itu. Jika bertikam atau beramuk terlalu susah melawannya.” Dan setelah ia sudah berfikir itu lalu ia menyuruh cagakkan lela pada serambi rumahnya dihadapkan ke tengah sungai kerana khabarnya Opu Daeng Perani hendak memudikkan ghurabnya ke hulu sampai ke kampong rumah Raja Kechil itu sekali. Maka diisinyalah lelanya itu beberapa pucuk. Maka tiada berapa lamanya mudiklah ghurab Opu Daeng Perani itu ke hulu dengan beberapa perahu. Maka apabila bertentangan dengan rumah Raja Kechil itu belum sempat ghurab itu membedil, maka dibedilnya dahulu dari sampai ke rumah raja Kechil. Dengan takdir Allah Taala serta sampai janjiNya, maka kenalah Opu Daeng Perani di atas beranda ghurabnya itu. Maka Opu Daeng Perani pun rebahlah lalu mangkat.
Kemangkatan Opu daeng Perani itu membuatkan Daeng Chelak dan pengikutnya mengamuk menyerang Raja Kechil dan pengikutnya. Setelah Raja Kechil dikalahkan dan berundur ke Siak, Daeng Marewah [Yang Dipertuan Muda] dan Daeng Chelak mengebumikan mayat Opu Daeng Perani “……sebagaimana adapt istiadat raja-raja yang besar-besar”.
Daeng Perani Mangkat Di Kedah
Berdasarkan sumber yang dibincangkan di atas, Tuhfat Al-Nafis, Salasilah Melayu & Bugis serta Hikayat Siak, Opu Daeng Perani terkorban dalam pertempuran dengan Raja kechil di Kedah. Selain itu sumber itu juga mencatatkan yang Opu Daeng Perani telah dimakamkan di kedah. Persoalan yang timbul ialah lokasi atau makam Opu Daeng Perani di Kedah.
Dalam usaha menjejaki makam Opu Daeng Perani ini beberapa usaha telah dilakukan, antaranya mendapatkan maklumat awal tapak di Kedah. Penyelidikan juga dijalankan bagi mendapatkan makam Opu Daeng Perani yang terletak di Kampung Ekor Lubuk, Sidam Kiri, Kedah. Kaedah penyelidikan ialah dengan temuramah atau sejarah lisan, melawat kampong dan makam berkaitan.
Setakat ini penyelidikan di Kampung Ekor Lubuk tidak ditemui sebarang nashkah Melayu yang menyentuh Makam Oopu Daeng Perani. Namun begitu tokoh-tokoh kampong dan beberapa org kampong yang disoal selidik dengan yakin menyatakan bahawa Makam Opu Daeng Perani ada di Kampung Ekor Lubuk. Antara mereka yang memberikan maklumat mengenai Makam OPu Daeng Perani di Kampung Ekor Lubuk ialah Che Gani, Wan Osman, Ustaz Wan Hizam dan Wan Hassan. Mereka ini jika disalurgalur ke atas akan sampai kepada keturunan Opu Daeng Perani dengan isterinya Tunku Aishah, saudara perempuan kepada Sultan Muhammad Jiwa Kedah. Mereka mendapat maklumat tersebut daripada keturunan terdahulu.
Keabsahan maklumat daripada mereka yang berkenaan boleh dipertanggungjawabkan. Selain daripada berasal daripada Kampung Ekor Lubuk, mereka adalah keturunan Opu Daeng Perani.
Nota: Kampung Ekor Lubuk dahulunya dikenali sebagai Teluk Bagan.
Petikan Kertas kerja yang dibentangkan dalam forum bertajuk ‘Di manakah Letak Sebenarnya Makam Daeng Perani’, bertempat di Muzium Negeri Kedah, Alor Setar, Kedah pada Ahad 13 Mei 2007. Oleh Abdullah Zakaria bin Ghazali – Jabatan Sejarah Universiti Malaya Kuala Lumpur.
Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah Darul Aman telah bersetuju dan mengesahkan bahawa Makam Opu Daeng Perani adalah terletak di Kampung Ekor Lubuk, Mukim Sidam, Daerah Kulim, Kedah Darul Aman melalui surat pengesahan bertarikh 19 Jun 2007, yang telah dihantar kepada Persatuan Keturunan Opu Daeng Perani.