Keputusan ICJ Jadi Iktibar Isu Tuntutan Kedaulatan Wilayah Negara
PENANTIAN selama hampir 28 tahun akhirnya sampai ke penghujung. Isu yang sudah lama menjadi 'duri dalam daging' dalam hubungan diplomatik antara dua negara berjiran ini berjaya diselesaikan melalui proses undang-undang antarabangsa.
Semalam, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague, Belanda, memutuskan bahawa kedaulatan Pulau Batu Puteh yang terletak di perairan luar pantai Johor adalah milik Singapura dengan keputusan majoriti 12:4.
Batuan Tengah (Middle Rocks) pula diputuskan sah milik Malaysia dengan
keputusan majoriti 15:1. Bagi Tubir Selatan (South Ledge), keputusan
yang diberikan adalah agak kompleks iaitu kedaulatannya terletak di
bawah wilayah di mana ia terletak. Apakah implikasi yang akan dibawa
oleh keputusan ICJ ini?
Pada 17 April 2008, Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Dr Rais Yatim dan
rakan sejawatnya dari Singapura, George Yeo, bersetuju untuk menerima
apa saja keputusan ICJ tanpa menjejaskan hubungan dua hala kedua-dua
negara.
Persetujuan juga dicapai untuk menubuhkan satu
jawatankuasa teknikal di antara Malaysia dan Singapura bagi menentukan
langkah yang perlu diambil hasil daripada keputusan itu. Ini kerana
keputusan ICJ ini akan menyebabkan beberapa perubahan, termasuk dari
segi sempadan perairan, pelantar benua dan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE)
Malaysia.
Ini bukan kali pertama Malaysia berurusan dengan ICJ
untuk menyelesaikan isu pertelingkahan kedaulatan wilayah. Tuntutan
bertindih antara Malaysia dan Indonesia terhadap Pulau Ligitan dan
Sipadan di bawa ke ICJ dan pada 2002, ICJ membuat keputusan berpihak
kepada Malaysia.
Selain itu, Malaysia juga membawa isu
penambakan tanah oleh Singapura ke Tribunal Antarabangsa Undang-Undang
Laut (ITLOS). Pada 2003 tribunal itu mengarahkan Singapura untuk
berhenti daripada melakukan aktiviti yang boleh memberi kesan kepada
kedaulatan wilayah Malaysia dan merosakkan kehidupan marin di kawasan
terbabit.
Keputusan kedua-dua prosiding di atas berpihak kepada
Malaysia hasil persediaan rapi pasukan undang-undang Malaysia dengan
mengemukakan hujah yang bernas, kuat dan meyakinkan.
Persiapan
Malaysia untuk kes tuntutan Pulau Batu Puteh bermula sejak hampir 30
tahun dulu. Penyelidikan berhubung kedaulatan Malaysia ke atas pulau itu
mula dilaksanakan ketika persediaan Peta Baru Malaysia 1979.
Kerja
penyelidikan dilakukan di Malaysia dan di serata dunia, termasuk
beberapa tempat di Kuala Lumpur, Johor, Melaka, Perak, Singapura,
Indonesia, India, United Kingdom, Amerika Syarikat, Australia, New
Zealand, Portugal dan Belanda.
Usaha penyelidikan dan
pengumpulan bahan bukti dilakukan berterusan oleh kira-kira 55 pegawai
daripada 24 agensi kerajaan seperti Kementerian Luar Negeri, Kementerian
Sumber Asli dan Alam Sekitar, Kementerian Pertahanan dan Pejabat Peguam
Negara, penyelidik yang dilantik dan pakar dalam bidang tertentu dari
tiga institusi pengajian tinggi tempatan seperti Universiti Teknologi
Mara, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Malaya.
Khidmat
penasihat undang-undang antarabangsa yang terkemuka seperti Sir Datuk
Elihu Lauterpacht QC dan Datuk James Crawford dari Universiti Cambridge
dan Datuk Nicolaas Jan Schrijver dari Universiti Leiden juga di gunakan.
Ketiga-tiga individu ini juga terbabit dalam prosiding kes
negara di ICJ untuk Sipadan dan Ligitan dan juga di ITLOS bagi kes
Penambakan Tanah Singapura.
Dalam kes Pulau Batu Puteh, delegasi
Malaysia diketuai Tan Sri Abdul Kadir Mohamad dan pasukan undang-undang
Malaysia yang diketuai Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail,
mempamerkan komitmen tinggi dan prestasi membanggakan.
Mereka
memastikan hujahan kes negara adalah sentiasa teratur dan padat, mudah
difahami oleh hakim dan sejauh mana yang mungkin memastikan tiada ruang
langsung bagi Singapura untuk menyangkal apa yang dihujahkan oleh
Malaysia sepanjang berlangsungnya perbicaraan iaitu daripada 6 hingga 23
November 2007.
Di bawah undang-undang antarabangsa, isu
kedaulatan wilayah adalah satu isu kompleks dan membabitkan pemakaian
pelbagai prinsip undang-undang. Singapura menyandarkan tuntutan mereka
kepada pendudukan secara sah oleh pihak British apabila mereka membina
rumah api Horsburgh di atas Pulau Batu Puteh yang di katakan terra
nullius (tidak bertuan) sebelum 1847.
Malaysia dikatakan gagal
mengemukakan bukti kukuh yang menunjukkan kedaulatan Johor ke atas Pulau
Batu Puteh. Kegagalan Malaysia dalam mengemukakan surat meminta
kebenaran daripada pihak British kepada kerajaan Johor juga dibangkitkan
oleh Singapura dalam hujah mereka.
Singapura juga mengemukakan
bukti bagi menunjukkan kuasa pentadbiran dan undang-undangnya di Pulau
Batu Puteh dan perairan sekitarnya melalui pelbagai aktiviti seperti
kawalan akses dan lawatan ke Pulau Batu Puteh.
Sementara itu,
Tentera Laut Singapura juga kerap melakukan rondaan di kawasan perairan
Pulau Batu Puteh. Singapura juga mendakwa Malaysia tidak menjalankan
aktiviti pentadbiran dan undang-undang ke atas Pulau Batu Puteh dan
tidak pernah membantah aktiviti pentadbiran dan undang-undang yang
dilakukan oleh Singapura.
Singapura membandingkan tindakan
Malaysia di Pulau Pisang di mana Singapura diminta menurunkan benderanya
di Pulau Pisang, tetapi tidak berbuat demikian di Pulau Batu Puteh.
Tegas Singapura ini membawa makna Malaysia tidak pernah mengambil kira
Pulau Batu Puteh sebagai sebahagian daripada wilayahnya.
Mereka
juga menegaskan bahawa Surat Pemangku Setiausaha Kerajaan Negeri Johor
yang menyatakan Johor tidak menuntut hak milik Pedra Branca (bahasa
Portugal untuk 'Batu Puteh), adalah sah memandangkan ia di tulis dalam
kapasiti rasminya dan Johor pada ketika itu adalah sebuah negeri yang
berdaulat.
Keputusan ICJ mengesahkan Pulau Batu Puteh milik
Kerajaan Johor jika dilihat dari aspek sejarahnya dan juga pemakaian
undang-undang antarabangsa berdasarkan kepada kes seperti Eastern
Greenland dan juga kes Island of Palmas.
Kedaulatan Pulau Batu
Puteh pada asalnya terletak pada kerajaan Johor. Di samping itu, ICJ
juga mengiktiraf dan mengambil kira peranan orang laut yang menggunakan
pulau berkenaan untuk aktiviti ekonomi mereka serta pertalian mereka
dengan Sultan Johor. Mereka dilihat sebagai rakyat naungan kerajaan
Sultan Johor. ICJ menolak dakwaan Singapura yang mengatakan Pulau Batu
Puteh adalah terra nullius (wilayah tidak bertuan).
Bagaimanapun,
ICJ mengambil kira dan memberikan fokus utama di dalam penghakiman
mereka kepada surat daripada Pemangku Setiausaha Kerajaan Johor
bertarikh 21 September 1953. Surat yang mengatakan Johor tidak menuntut
hak milik Pedra Branca dilihat oleh ICJ sebagai Johor melepaskan
kedaulatannya ke atas Pulau Batu Puteh kepada kerajaan British. Ini
bermakna sejak 1953 Johor sudah kehilangan Pulau Batu Puteh.
Penghakiman
ICJ juga menyentuh isu enam peta rasmi diterbitkan Malaysia sekitar
1962 hingga 1974 dengan Pulau Batu Puteh dilabel sebagai milik
Singapura. Mengikut ICJ, ini secara langsung memperkukuhkan tuntutan
Singapura terhadap Pulau Batu Puteh kerana Singapura sendiri tidak
pernah menerbitkan sebarang peta yang merujuk Pulau Batu Puteh sebagai
wilayah Malaysia.
Di samping itu, penghakiman ICJ juga memberi
penekanan kepada pelbagai aktiviti yang menunjukkan kuasa pentadbiran
dan undang-undang Singapura di Pulau Batu Puteh dan ia adalah antara
faktor penting mengapa penghakiman ICJ terhadap Pulau Batu Puteh
berpihak kepada Singapura.
Penguatkuasaan Tentera Laut Singapura
di kawasan perairan Pulau Batu Puteh dan siasatan yang dijalankan oleh
Kerajaan Singapura ke atas insiden kemalangan kapal laut adalah antara
aktiviti yang menunjukkan kawalan eksklusif dan juga kedaulatan
Singapura ke atas Pulau Batu Puteh.
Bagaimanapun, penghakiman
ICJ terhadap Pulau Batu Puteh yang berpihak kepada Singapura ini tidak
meliputi Batuan Tengah dan Tubir Selatan kerana aktiviti Singapura hanya
terhad kepada Pulau Batu Puteh. Status Batuan Tengah kekal mengikut
sejarah bersama dengan Kerajaan Johor.
Daripada perspektif
undang-undang antarabangsa, penghakiman ICJ adalah muktamad dan mengikat
kedua-dua Malaysia dan Singapura. Malaysia perlulah akur dengan
keputusan ICJ yang memihak kepada Singapura selaras dengan Perjanjian
Khas ditandatangani pada 6 Februari 2003 oleh Menteri Luar masing-masing
dan juga Artikel 60 Statut ICJ.
Keperluan Malaysia menghormati
penghakiman ICJ juga dituntut oleh Artikel 94 Piagam Pertubuhan
Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Kegagalan Malaysia untuk akur kepada
keputusan ICJ akan membolehkan Singapura membawa perkara ini ke Majlis
Keselamatan PBB untuk tindakan selajutnya.
Bagaimanapun, menurut
Artikel 61 Statut ICJ jika berlaku penemuan fakta yang boleh menjadi
faktor penentu, ketika penghakiman dibuat, ia tidak diketahui oleh
mahkamah, permohonan untuk semakan semula kes itu boleh dilakukan.
Syarat
untuk mengguna pakai Artikel 61 ini adalah ketidaktahuan fakta itu
tidak berpunca daripada kecuaian dan ia tidak diketahui oleh pihak yang
memohon semakan semula itu. Permohonan ini juga perlulah dibuat dalam
masa enam bulan daripada penemuan fakta baru itu dan dalam tempoh 10
tahun mulai tarikh penghakiman.
Walau apa juga keputusan ICJ,
perlulah diingati bahawa ia berdasarkan lunas undang-undang antarabangsa
yang dipersetujui kedua belah pihak. Ia adalah satu contoh yang baik
bagaimana pertelingkahan antara dua negara boleh diselesaikan secara
aman melalui proses perundangan apabila segala usaha untuk menyelesaikan
isu ini melalui rundingan gagal dan buntu.
Rakyat amnya dan
Kerajaan Malaysia khususnya perlu menerima keputusan ini dengan positif
dan mengambil iktibar daripada pengalaman tuntutan Pulau Batu Puteh ini
supaya kedaulatan wilayah negara terus terpelihara.
Pulau Batu Puteh: Usah Salahkan Sesiapa
KUALA LUMPUR: Keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) kelmarin yang memberi hak kedaulatan Pulau Batu Puteh kepada Singapura, tidak harus dipolitikkan oleh mana-mana pihak.
Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata semua pihak juga diminta tidak menyalahkan sesiapa atas keputusan itu dan menerimanya dengan hati terbuka walaupun ia mengecewakan. "Saya tidak rasa kita menyalahkan sesiapa... ia sudah diputuskan
mahkamah tetapi kita akan pastikan sebarang keputusan yang dilakukan
negara jiran kelak tidak akan menggugat kepentingan rakyat kita terutama
di Johor," katanya kepada pemberita selepas Majlis Taklimat Tertutup
"Tata Etika Ahli Umno" dengan Badan Perhubungan Umno Wilayah
Persekutuan, di sini, semalam.
Beliau yang juga Menteri
Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, Singapura juga harus
mengambil kira bahawa kawasan itu sudah sebati dengan rakyat negara ini
terutama di Johor.
"Kita harap mereka mempertimbangkan dan tidak
mengancam rakyat kita kerana ia pernah menjadi sebahagian wilayah
Malaysia," katanya.
Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin
Hussein, berkata walaupun kecewa dengan keputusan ICJ itu, rakyat Johor
khususnya, harus bertenang dan menerima hakikat keputusan itu muktamad
dan tiada rayuan.
"Kita sudah pun bersetuju dengan keputusan
muktamad mahkamah itu dan kita mahukan kestabilan serantau terutama di
kawasan tanah selatan ini berkekalan.
"Saya harap Pemuda Umno
Johor melihat secara positif pembentukan jawatankuasa dua negara
mengenai isu ini tetapi pada masa sama saya mahu juga mereka memantau
pelaksanaan kerjasama jawatankuasa yang ditubuhkan itu supaya ia dapat
memberi kebaikan kepada semua pihak," katanya.
Beliau yang juga
Menteri Pelajaran berjanji memantau secara dekat kaedah yang
dilaksanakan jawatankuasa teknikal bersama Malaysia-Singapura untuk
menangani isu perairan sekitar Pulau Batu Puteh dalam memastikan ia
bukan saja menjaga hubungan kedua-dua negara tetapi kepentingan rakyat
Johor terutama nelayan.
Selain itu, beliau berkata, jawatankuasa
terbabit juga harus memberi perhatian khusus isu laluan kapal serta
ruang udara yang selama ini membelenggu kedua-dua negara kerana ia belum
mencapai keputusan di mahkamah.
Kita Terlepas Batu Puteh Kerana Cuai
PELBAGAI reaksi diberikan banyak pihak selepas Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague, Belanda, memutuskan bahawa Singapura mempunyai hak kedaulatan terhadap Pulau Batu Puteh (Pedra Branca), manakala Malaysia berhak terhadap Batuan Tengah (Middle Rocks).
Kedudukan Tubir Selatan (South Ledge) pula bergantung kepada persempadanan perairan negara yang menguasainya. Ada pihak melihat keputusan ICJ lebih menyebelahi Singapura dan merugikan Malaysia.
Bagaimanapun, ada yang berpendapat negara tidak tewas sepenuhnya. Bagi menilai keputusan di ICJ secara menyeluruh, wartawan Berita Minggu, Ziauddin Sharuddin dan Rohaniza Idris, mendapatkan penjelasan pakar sejarah dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Nik Anuar Nik Mahmud, yang menganggotai pasukan Malaysia di The Hague dan penganalisis politik, Dr Ahmad Nidzammuddin Sulaiman, juga dari UKM.
Adakah keputusan ICJ berhubung hak kedaulatan Pulau Batu Puteh yang memihak kepada Singapura sudah dijangka berdasarkan bukti dan penghujahan?
Dalam kes Pulau Batu Puteh, saya sudah menjangka kita akan menghadapi masalah untuk mempertahankannya sejak awal lagi.
Pertama sekali kerana ialah kelemahan kita dari segi pentadbiran dan
surat Setiausaha Kerajaan Negeri pada 1953. Dari segi sejarah, pulau itu
dan pulau lain sebenarnya adalah milik Johor. Mahkamah memperakui hak
itu bersandarkan Perjanjian 1819, Mac 1824, Perjanjian Ogos 1824,
Perjanjian 1927 dan sebagainya.
Bagaimanapun pada 1953, kerajaan
Johor apabila ditanya oleh pihak Singapura mengenai status pulau itu
menjawab bahawa pulau itu bukan milik negeri itu. Ini yang menyebabkan
mahkamah menjadikan surat itu sebagai hujah untuk mengesahkan bahawa
Johor sudah menyerahkan hak kedaulatan pulau itu kepada Singapura.
Adakah penghakiman ini adalah keputusan sama menang atau hanya menguntungkan sebelah pihak?
Keputusan
itu adalah sesuatu yang tidak dijangka. Boleh saya katakan bahawa
keputusan itu sebagai 'Blessing in Disguise' (perkara baik yang pada
awalnya tidak diketahui). Kita kehilangan Pulau Batu Puteh, tetapi
menang di Batuan Tengah.
Ia membolehkan nelayan Johor menangkap
ikan di kawasan sekitar pulau itu yang sebelum ini adalah kawasan non
grata (tidak diterima atau dialu-alukan) kepada nelayan kita.
Apakah faktor penting dalam penghakiman ICJ?
Mahkamah
mengiktiraf Pulau Batu Puteh dan semua pulau di sini sebagai milik
Johor. Dalam kes Pulau Batu Puteh, kita kalah kerana kecuaian kerajaan
Johor dulu yang membiarkan Singapura mengurus rumah api dan pulau itu.
Kemudian
pada 1953, tanpa berfikir panjang, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor
mengesahkan kepada Singapura bahawa Pulau Batu Puteh bukan milik Johor.
Pengesahan itu dibuat secara hitam putih.
Kecuaian ini
menyebabkan kita kehilangan pulau itu. Pengajaran penting daripada
penghakiman ini kepada setiap pihak ialah belajarlah daripada sejarah.
Kita perlu berhati-hati apabila membuat keputusan agar generasi akan
datang tidak menanggung kerugian penderitaan.
Siasat betul-betul asal-usul sesuatu perkara dan tidak membuat keputusan dalam keadaan tergesa-gesa.
Prof sebagai sebahagian anggota pasukan Malaysia. Bagaimana situasi di kalangan anggota pasukan selepas ICJ membuat keputusan?
Saya
nampak semua anggota delegasi Malaysia gembira dengan keputusan itu.
Sebab itu, saya katakan keputusan mahkamah adalah `Blessing in
Disguise'.
Apakah kesan penghakiman kes ini terhadap pelbagai aspek membabitkan kedua-dua negara seperti persempadanan?
Seperti
saya katakan, keputusan ini adalah kejayaan yang besar ertinya kepada
kita. Singapura terpaksa mengakui bahawa kawasan yang dipertikaikan itu
juga hak Malaysia. Nelayan kita bebas untuk menangkap ikan di kawasan
itu. Dulu nelayan dihalang dan diugut, malah ditangkap.
Sekarang
mahkamah membebaskan kepungan itu. Sudah tentu isu sempadan antara
Malaysia dan Singapura berikutan keputusan itu akan dikaji oleh
Jawatankuasa Teknikal kedua-dua kerajaan.
Adakah sebarang pulau
atau wilayah lain yang berpotensi menimbulkan pertikaian hak kedaulatan
antara Malaysia dan negara jiran pada masa depan?
Pertikaian di
Kepulauan Spratly masih belum selesai. Saya percaya negara yang terbabit
dalam pertikaian gugusan pulau ini akan menyelesaikannya secara damai
melalui proses undang-undang dan tolak ansur demi kestabilan serantau
dan kesejahteraan penduduk di rantau ini.
Apakah merujuk
pertikaian membabitkan wilayah atau sempadan ke ICJ adalah suatu
perkembangan yang positif atau sebaliknya dalam soal perhubungan antara
Malaysia dan negara jiran?
Ini adalah suatu tindakan bijak oleh
pemimpin kedua-dua negara untuk mengelakkan berlaku konfrontasi
bersenjata yang boleh menjejaskan keselamatan serantau.
Akhir
sekali, saya ingin mengucapkan syabas kepada pasukan Malaysia atas
kejayaan di ICJ. Kita terlepas Pulau Batu Puteh, tetapi mendapat Batuan
Tengah (Middle Rocks). Sesungguhnya keputusan itu suatu 'Blessing in
Disguise'.
Apakah kesan penghakiman ICJ yang memberikan Pulau
Batu Puteh kepada Singapura dan Batuan Tengah kepada Malaysia, manakala
Tubir Selatan kepada negara yang memiliki perairannya kepada hubungan
antara Malaysia dan Singapura?
Kesan hubungan antara dua negara
adalah tidak ketara. Hubungan Malaysia dan Singapura selama ini pun
selalu pasang surut. Ada masa panas dan ada masa sangat harmoni. Isu ini
akan termasuk dalam pelbagai isu yang membuatkan hubungan pasang surut
itu seperti isu bekalan air, Tabung Simpanan Pekerja (CPF), Jambatan
Indah dan Tanjung Pagar.
Bagaimanapun, jika dilihat dari aspek
persempadanan negara dan hak perairan, ia sudah tentu sedikit sebanyak
kesan yang tidak memihak kepada Malaysia atau kita tidak begitu senang.
Pulau Batu Puteh kini menjadi milik Singapura sepenuhnya.
Sempadan
perairan keliling pulau itu juga menjadi milik republik itu. Jika
membuat penambakan tanah, pulau sebesar dua padang bola boleh menjadi 20
padang bola dan sudah tentu boleh digunakan untuk pelbagai tujuan
seperti pangkalan polis marin atau tentera dan sebagainya mengikut
kehendak dan kepentingan mereka.
Benarkah keputusan itu adalah
sama menang, sedangkan tumpuan utama dalam kes ini ialah Pulau Batu
Puteh dan bukan dua pulau lain yang lebih kecil?
Pandangan sama
menang dinyatakan oleh Menteri Luar, Datuk Seri Dr Rais Yatim. Saya
fikir kenyataan diplomatik ini mudah difahami kerana beliau
mengucapkannya sebagai Menteri Luar dan bukan sebagai Dr Rais Yatim.
Beliau
memiliki tanggungjawab moral dan diplomatik serta mewakili rasmi negara
ini vis a vis (berdepan secara langsung) rakan sejawat dari Singapura.
Bagaimanapun, sudah tentu pandangan ini tidak dapat dikongsi sepenuhnya
rakyat Malaysia. Sekurang-kurangnya dari sudut sentimennya.
Pada
saya sama menang hanya berlaku jika Malaysia dan Singapura berebut
pulau yang tidak menjadi milik mana-mana pihak. Apabila ada dua dan
diagih, setiap pihak dapat satu, barulah dianggap sebagai sama menang,
tetapi semua tahu bahawa pulau itu milik Malaysia (dulu Johor) dan semua
dokumen lengkap, sejarah juga membuktikannya.
Malaysia tidak
membuat tuntutan, tetapi berusaha mengekalkan haknya. Singapura kemudian
membuat 'tuntutan’ hasil usaha, perbelanjaan, komitmen dan sebagainya
yang diberikan terhadap pulau itu selama ini.
Tiba-tiba
keputusan memihak kepada Singapura dengan kelebihan ia menguruskan dan
mengendalikan pelbagai alat yang ada di pulau itu dan dibenarkan oleh
Malaysia. Tuntutannya berjaya. Ini yang menyebabkan saya berpandangan ia
bukan keadaan sama menang, tetapi terlepas sebuah pulau milik kita
akibat kealpaan sendiri.
Kita lihat juga analogi ini, umpama
seorang ibu bapa yang ada banyak anak. Seorang anaknya diberi kepada
seorang lain untuk dipelihara walaupun dia menyatakan bukan untuk
selama-lama. Apabila sudah sampai satu peringkat umur, penjaga itu
membawa ke mahkamah menuntut hak penjagaan kekal terhadap anak itu.
Sudah
tentu ia menjadi satu kes yang panas. Ibu bapa asal akan kecewa dan
berusaha untuk mengekalkan haknya. Ia memberi semua dokumen bahawa itu
adalah anaknya seperti surat kelahiran, laporan hospital, bukti DNA,
saksi bidan yang menyambut anaknya dulu dan sebagainya.
Penjaga
pula akan memberi bukti seperti dia yang membesarkan anak itu. Surat
tadika dan sekolah, kos penjagaan, semua bil yang sudah dijelaskan bagi
pemeliharaan, kesihatan dan sebagainya. Mahkamah sudah tentu membuat
keputusan demi kepentingan kanak-kanak.
Apa lagi kalau dokumen
bapa asal memberi hak penjagaan itu wujud dan dapat ditunjuk di
mahkamah. Dalam kes seperti ini, saya berpendapat penjaga itu yang boleh
menang. Apa lagi kalau ibu bapa asal ada ramai anak dan tidak
terpelihara dengan baik.
Demikianlah kes Pulau Batu Puteh itu,
kita ada 10 peta bersejarah pun, ia hanya menjelaskan keadaannya dulu.
Sekarang tidak lagi. Ia dipelihara oleh siapa dan komitmen yang
ditunjukkan itu nyata dan tidak dapat dipersoalkan.
Malaysia
sebagai sebuah negara maritim mempunyai beberapa isu pertindihan
tuntutan dengan negara jiran seperti kepulauan Spratly di Laut China
Selatan dan perairan Ambalat di Laut Sulawesi. Bagaimana Dr melihat
setiap kes tuntutan berkenaan? Persaingan merebut sumber ekonomi,
terutama minyak dan menguasai jalan laut serta ketenteraan.
Dalam
kes Spratly, Malaysia memang membuat tuntutan. Saya tidak fikir
(pendapat peribadi) kita pernah mendudukinya atau ada kampung lama milik
rakyat Malaysia di situ. Cuma kita berasakan kepulauan itu berada dalam
zon kita dan berhak membuat tuntutan.
Perairan Ambalat memang
seperti berada antara Malaysia dan Indonesia. Ia juga perlu dibawa ke
pengadilan. Sudah tentu semua pulau ini penting bagi kita,
sekurang-kurangnya dari sudut kedaulatan, maruah dan sempadan kita.
Selain itu, dari sudut keluasan sempadan, sumber alam, perikanan dan
sebagainya.
Ia menyulitkan apabila kita berdepan jiran tetangga,
bukan pihak lain yang asing. Apabila ia juga menjadi tuntutan dengan
jiran ini, kita terpaksa menghadapinya. Seharusnya Batu Puteh menjadi
pengajaran untuk tuntutan ini. Tidak semestinya bertindak agresif
seperti negara lain.
Apakah keputusan penghakiman kes ini akan
mendorong Malaysia atau negara lain terus menggunakan pendekatan
undang-undang untuk menyelesaikan isu persempadanan?
Malaysia
bukan negara yang mengamalkan dasar konfrontasi atau kekerasan. Sejak
zaman konfrontasi dengan Indonesia dulu, masalah pengganas komunis di
sempadan Thailand, isu Sabah dengan Filipina, Pulau Batu Puteh dan
lain-lain, semuanya dilalui dengan cara diplomatik dan perundangan.
Saya
percaya Malaysia akan menggunakan cara ini seterusnya kelak.
Berdasarkan pengalaman kes Batu Puteh dan Sipadan-Ligitan, saya percaya
negara jiran juga akan menggunakan kaedah ini. Cuma cara mendekatinya
berbeza.
Ada negara yang bertindak agresif dulu, meletakkan
tentera, menghalau rakyat lain mendekatinya dan kemudian baru bersetuju
pergi ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa. Pendekatan Machiavellian
seperti ini nampaknya membuahkan hasil kepadanya dengan penggunaan
tenteranya.
Apakah yang mungkin berlaku jika negara yang terbabit dalam tuntutan bertindih tidak memilih pergi ke ICJ?
Jika
sesebuah negara kuat dari segi ketenteraan dan mendapat sokongan kuasa
besar, negara begini akan mempunyai kelebihan. Negara ini akan
mengekalkan dan sanggup bertindak secara ketenteraan sekali gus
merugikan negara yang lebih lemah dan enggan bertindak cara ini.
Negara
lain akan terus mengecam, menggesa dan mendesak, tetapi sudah tentu ia
tidak menyelesaikan masalah. Banyak negara besar yang menguasai pulau
kecil menggunakan kekuatan tentera untuk mengekalkan pulau seperti Pulau
Falklands.
Di kawasan tuntutan bertindih yang berpotensi memiliki banyak sumber minyak, bolehkah negara yang bersaing bekerjasama?
Idealnya
begitulah. Berkongsi usaha dan hasil, tetapi kita tidak hidup dalam
dunia yang ideal seperti itu. Apabila berada dalam kedudukan bertindih
dan mengetahui sumbernya lumayan, sudah tentu ia direbut oleh pihak yang
mendekatinya.
Cuma kerjasama yang diharapkan ialah untuk
bersetuju menyelesaikan secara rundingan atau membawa ke pengadilan
antarabangsa. Kalau dapat berunding secara aman dan mengambil keputusan
secara sama menang, ini adalah lebih baik berbanding ke mahkamah.
Belanja pun banyak dapat dijimatkan dan hubungan dua hala dengan negara
berkenaan juga terus harmoni.
Pulau Batu Puteh Sah Milik Singapura
KUALA LUMPUR: Pulau Batu Puteh yang menjadi pertikaian antara Malaysia dan Singapura selama 28 tahun hari ini kini disahkan milik Singapura selepas ia diputuskan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague, Belanda.
Keputusan ICJ itu akan disampaikan oleh Naib Presiden Mahkamah itu, Hakim Awn Shawkat Al Khasawneh yang juga Pemangku Presiden, tepat jam 5.50 petang.
Keputusan itu disiarkan secara langsung oleh RTM1, mulai kira jam 4 petang ini.
Pulau Batu Puteh atau Pedra Branca (bahasa Portugal untuk "Batu Putih") adalah sebuah pulau tunggul sebesar dua padang bola sepak, yang terletak di luar pantai tenggara Pengerang, Johor, Malaysia.
Luasnya 0.2 hektar, berbatu-batu dan kira-kira 12.8 km dari Pengerang dan 64 km ke timur Singapura dan hanya 20 minit dengan bot laju dari Teluk Ramunia, Pengerang, Johor.
Pertikaian kedaulatan pulau itu antara isu kedua-dua negara yang berlarutan hampir 28 tahun.
Singapura mendakwa Pulau Batu Puteh miliknya selepas pemetaan wilayah dibuat Malaysia pada 1979.
Pada 24 Julai 2003, Malaysia dan Singapura secara bersama memulakan proses perundangan bagi menyelesaikan tuntutan Singapura melalui penyampaian secara rasmi kepada ICJ.
Malaysia Dan Singapura Janji Tidak Timbulkan Masalah Hasil Keputusan Batu Puteh
KUALA LUMPUR: Malaysia dan Singapura bersetuju untuk tidak menimbulkan sebarang angkara atau masalah hubungan dua hala dalam menerima penghakiman Mahkamah Keadilaan Antarabangsa pada Jumaat ini berhubung isu tuntutan Pulau Batu Puteh.
Menteri Luar, Datuk Seri Dr Rais Yatim hari ini berkata ini bermakna sekiranya keputusan memihak kepada Malaysia, Singapura akan terus berbaik sangka dan tidak menimbulkan sebarang prejudis atau prasangka dan begitu juga sebaliknya.
"Kita akan menghormati keputusan dan terus menjelmakan bibit persahabatan antarabangsa dan kejiranan. Kita harus menerima ia sebagai satu yang biasa dan dalam keadaan terbuka.
"Sehubungan itu satu jawatankuasa teknikal sudah dipersetujui untuk diwujudkan dan jawatankuasa itu akan merumus, mentadbir dan melaksanakan keputusan mengikut lunas pentadbiran antarabangsa,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini.
Rais berkata, jawatankuasa berkenaan akan menentukan antara lainnya hal berkenaan siapa yang harus berada di pulau itu selepas keputusan diambil dan juga soal kawasan perikanan.
Sebelum itu Rais memberi taklimat ringkas mengenai kes itu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Anggota Parlimen.
"Perdana Menteri merasakan bahawa sebagai satu kes biasa, jika doa dan harapan negara tak menjelma, ia seharusnya dihadapi dengan baik,” katanya.
Rais menasihatkan rakyat menerima keputusan dengan baik dan tidak menimbulkan huru hara atau mempengaruhi mana-mana pihak supaya tidak berbaik dengan Singapura.
Delegasi Malaysia akan berlepas ke The Hague, Belanda, malam ini.
Pada jam 4 petang (waktu Malaysia) Jumaat ini, ICJ akan mengumumkan keputusannya siapakah yang mempunyai hak kedaulatan terhadap pulau itu yang terletak 7.7 batu nautika dari perairan Johor.
Perbicaraan berlangsung dari 6 hingga 23 Nov tahun lalu. Malaysia dan Singapura sudah berikrar mematuhi keputusan ICJ itu dan keputusan mahkamah itu adalah muktamad dan tidak ada rayuan boleh dibuat.
(Prof Dr Rahmat Mohamad ialah Timbalan Naib Canselor, Universiti Teknologi Mara)
Sumber: Penerangan